11 Mac 2010, Harian Metro
Oleh Nor Akmar Samudin
2010/03/11 KEPADA yang tidak berpeluang menyaksikan pementasan teater muzikal Gamat musim pertama, jangan ketingggalan untuk menyaksikan persembahan musim keduanya yang akan dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, mulai 12 hingga 22 Mac ini.
Teater muzikal itu diterbitkan CTRA Production dengan kerjasama Persatuan Penulis Wanita Malaysia, Aswara, Istana Budaya dan Matic. Tarikh itu bersesuaian dengan cuti semester pertama. Sambil berhibur, Gamat sarat menampilkan mesej perlindungan alam sekitar. Kanak-kanak harus dididik untuk mencintai alam sekitar kerana mereka pewaris masa depan. Gamat teater pertama di negara ini mengambil dasar lautan sebagai latar cerita. Pementasan ini membabitkan 91 pelakon. Selain didokong pelakon kanak-kanak, Gamat menampilkan 30 pelakon dewasa termasuk Amy Mastura, Misha Omar, Ziana Zain, Natasha Hudson, Zuhairi Ibrahim, Anith Aqila Sulaiman, Zulyadi Zainal Abidin, Nur Syahida Marzuki, Aidil Solehin Marhalim, Najua Nasir P Ramlee dan Shukor Ibrahim. Bagaimanapun, Ziana tidak akan berlakon pada persembahan sebelah petang (matinee), jam 3 petang. Dia juga tidak akan muncul pada 13 dan 15 Mac (jam 8.30 malam) dan tempatnya akan digantikan Suhaila Awang. Ringkasnya, Gamat mengisahkan kehidupan dalam laut seperti ketam, tapak sulaiman, kurita, obor-obor, barakuda, kuda laut, sotong, landak laut, umang-umang, todak dan gamat sendiri. Suatu hari, Anak Gamat bosan lalu keluar berjalan-jalan, tetapi kemudian diculik Obor-Obor bagi menyelamatkan Kurita yang sakit. Obor-Obor menyangka Anak Gamat itu adalah Ibu Gamat. Lalu menyedari anaknya diculik, Ibu Gamat mula bertindak dan meminta bantuan rakan lain. Tiket teater itu sudah dijual di Matic. Untuk persembahan matinee, harga tiket RM22 dan persembahan malam, RM50. Tiket pada 20 Mac sudah habis dijual. Mereka yang ingin menempah tiket hubungi 03-61866592 /012-2977220 atau layari laman web, www.muzikalgamat.blogspot.com. Sementara itu Harian Metro dan pihak penganjur menawarkan tiket percuma kepada mereka yang ingin menonton teater ini.
Caranya dengan membawa keratan asal rencana ini bersama dua 'mast head' (kepala akhbar) Harian Metro hari ini dan esok (Jumaat) untuk ditukarkan dengan satu tiket berharga RM50.
Tukaran tiket ini boleh dibuat mulai esok di Anjung Riong, Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur mulai 10 pagi hingga 5 petang. Tiket percuma itu adalah bagi tontonan pada 15, 17 dan 18 Mac ini. Tiket terhad jadi siapa cepat dia dapat!
No comments:
Post a Comment