Wednesday, February 17, 2010

Tangan Ziana Zain Melecur Terkena Air Panas







ARKIB : 12/02/2010



Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 11 Feb. – Tetamu dan wartawan pada sidang akhbar teater Muzikal Gamat musim kedua hari ini dikejutkan dengan penampilan artis terkenal, Ziana Zain yang berbalut kedua-dua belah tangannya.
Ia bukan gimik tetapi memang Ziana benar-benar cedera. Penyanyi lagu Puncak Kasih itu mengalami kecederaan apabila kedua-dua belah tangan dan bahagian lain badannya melecur akibat terkena air panas.

“Kemalangan ini berlaku ketika saya sedang menyediakan sarapan pagi dan membancuh teh tarik, entah bagaimana teko yang saya pegang terjatuh.

“Akibatnya, kedua-dua belah tangan, bahagian perut dan paha kanan saya melecur terkena air panas.

“Memang pedih tapi selepas pergi ke hospital semuanya beransur pulih dengan bantuan ubat-ubatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kata Ziana, dia kemudiannya dikejarkan ke Pusat Perubatan Selangor oleh suaminya untuk mendapatkan rawatan.

“Mujur suami berada di rumah ketika itu. Saya juga mengerang kesakitan ketika itu. Alhamdulillah, keadaan beransur pulih,” ujarnya lagi.

Menurut Ziana, kerana insiden itu juga, dia terpaksa menunda rakaman program televisyen untuk Slim World yang sepatutnya diadakan Selasa lepas.

Sementara itu, menerusi teater pertama lakonannya itu, penyanyi yang baru saja melahirkan sepasang anak kembar ini akan membawa watak ketua obor-obor yang garang dan jahat.

Dia akan digandingkan dengan dua penyanyi popular lain iaitu Amy Mastura dan Misha Omar.

Teruja dengan pementasan itu, Ziana memberitahu, sudah lama dia teringin untuk terlibat dengan pementasan teater muzikal.

Muzikal Gamat akan dipentaskan di Dewan Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jln Ampang dari 12 hingga 22 Mac ini.

Selain itu, ibu kepada empat cahaya mata itu juga, turut terlibat dalam pementasan Antara sempena sambutan Maulidur Rasul pada 26, 27 dan 28 Februari ini di Istana Budaya.

No comments:

Post a Comment