Jumaat Februari 12, 2010
Ziana dan Misha antara muka baru Gamat sementara Amy Mastura berlakon dalam teater muzikal itu buat kali kedua. - Foto The Star oleh BRIAN MOH
MUZIKAL Gamat yang bakal dipentaskan buat kali kedua telah memperkenalkan muka baru iaitu penyanyi Ziana Zain, penyanyi Misha Omar dan pelakon Diana Johor.
Ziana akan melakonkan watak Ketua Obor-Obor, Misha (Ketua Buntal) dan Diana (Obor-Obor).
Sementara pelakon utama lain yang dikekalkan adalah Amy Mastura (Ibu Gamat), Zuhairi Ibrahim (Bapa Gamat) dan Aidil Solehin Marhalim (Anak Gamat).
Menurut penerbitnya, Siti Rohayah Atan, dia juga telah menawarkan anak Misha iaitu Muhammad Adam Emir, 4, dan anak Amy yang berusia dua tahun untuk berlakon dalam teater muzikal itu.
Diana Johor juga merupakan muka baru dalam Gamat.
Selepas dipentaskan pada tahun lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, kali ini teater Muzikal Gamat kembali menemui penggemar teater tanah air pada 12 hingga 22 Mac depan di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. Muzikal terbitan CTRA Production ini turut mendapat kerjasama MATIC, ASWARA dan Istana Budaya dengan tajaan Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd.
Di bawah terbitan Siti Rohayah Atan, karya sepenuhnya oleh Zaifri Husin itu masih mengekalkan barisan pelakon seperti Anith Aqila Sulaiman, Nur Syahida Marzuki, Sarah Erwin, Eewen Teoh, Grace Yeoh dan ramai lagi.
Barisan pelakon utama Gamat.
Muzikal Gamat musim pertama menjadi teater pertama di Malaysia yang mengambil dasar lautan sebagai latarnya. Ia juga menjadi teater pertama yang menggunakan kanak-kanak paling muda berusia tiga tahun iaitu Elhann Sairish Azrin di samping 30 kanak-kanak.
Selain itu, ia menampilkan 30 pelakon dewasa lain termasuklah Najua Nasir P.Ramlee dan Shukor Ibrahim.
Gamat mengisahkan tentang kehidupan di dalam laut yang dipenuhi pelbagai kisah suka dan duka. Ia dihuni oleh pelbagai kehidupan laut, ada yang baik dan ada yang jahat. Ini termasuklah Gamat, Ketam, Tapak Sulaiman, Kurita, Obor-Obor, Baracuda, Kuda Laut, Sotong, Landak Laut, Umang-Umang dan Ikan Todak.
Pelakon kanak-kanak turut menggamatkan teater muzikal ini.
Ibu dan Bapa Gamat mahu menolong Profesor membuat penyelidikan tentang gamat dan menyuruh anaknya Mat duduk di rumah tetapi Mat merasa bosan. Mat telah keluar berjalan-jalan dan bertemu dengan Ketam Bunga, Ketam Batu dan Tapak Sulaiman.
Di Karang Puaka, Kurita yang sedang menderita kesakitan kesan toksid. Kurita mengarahkan Obor-Obor menangkap Ibu Gamat supaya dapat mengubati penyakitnya. Obor-Obor telah tersalah menangkap Mat yang disangkanya Ibu Gamat.
Ibu Gamat yang menyedari kehilangan anaknya telah berjumpa dengan Buntal (Polis Laut). Mereka berbincang dan berjumpa dengan Mahatahu (Belut Laut) yang memberi petunjuk kepada Ibu Gamat bagaimana untuk menemui anaknya.
Ketika dalam perjalanan mencari inilah pelbagai peristiwa terjadi dan disaksikan oleh Ibu Gamat. Ini termasuklah banyak hidupan laut yang sakit akibat laut telah tercemar. Ibu Gamat mengubati mereka dengan menggunakan produk gamat ramuan Profesor Gamat.
Akhirnya, Mat berjaya ditemui. Kurita dan Obor-Obor telah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Mereka mengaku bersalah dan dikenakan hukuman membersihkan Taman Laut. Mereka juga berjanji tidak akan mengganggu penghuni laut lagi.
Bagi yang berminat, boleh dapatkan tiket berharga RM22 (3 petang) dan RM50 (8.30 petang).Keterangan lanjut hubungi 03-61866592 atau layari www.muzikalgamat.blogspot.com
No comments:
Post a Comment